Filled Under:

Sayu! Hasrat Allahyarham NURUL IZZATY AZYAN tidak kesampaian





Rahsia penyakit daripada keluarga


NURUL IZZATY AZYAN

Hasrat seorang penuntut jurusan perubatan di Universiti Cairo, Mesir, Nurul Izzaty Izyan Roselan, 23, yang menetap di Kampung Tasek di sini, pulang bercuti untuk bersama keluarganya di Malaysia Januari depan tidak kesampaian.

Malah keluarga Nurul Izzaty Izyan menyambut 'kepulangan' anak kedua daripada empat beradik itu lebih awal malam semalam, apabila jenazahnya tiba di tanah air.

Penuntut tahun akhir itu disahkan meninggal Jumaat lalu, akibat penyakit Systemic Lupus Erythemitosus (SLE).

“Kami menerima panggilan daripada wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jam 7.45 malam (waktu Malaysia) Jumaat lalu memaklumkan kepada isteri saya, bahawa anak kami telah dimasukkan ke hospital selepas terjatuh dalam bilik air.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.50 malam, mereka (JPA) sekali lagi menghubungi kami dan memaklumkan Nurul Izzaty Izyan sudah meninggal dunia,” kata bapa Allahyarham, Roselan Abd Rahman, 56.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang menziarahi keluarga itu di rumahnya di Kampung Tasek, di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, exco kerajaan negeri yang juga Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang dan Pegawai Penyelaras Dun Alur Limbat, Saiful Bahri Datuk Baharuddin serta Ketua Wanita Umno Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Tak sabar tunggu arwah pulang

Mengulas lanjut, Roselan berkata, sebelum berita sedih itu dimaklumkan, mereka sekeluarga tidak sabar menunggu kepulangan puteri kesayangan mereka yang berhasrat untuk pulang ke tanah air sempena cuti semester Januari depan.

“Namun hasratnya untuk pulang ke rumah ini tidak kesampaian. Memang kami sedih, namun kami reda dan saya gembira kerana dia (Nurul Izzaty Azyan) gembira sepanjang berada di sana (Universiti Cairo) bagi mengejar cita-citanya.

“Malah sepanjang belajar di sana, Nurul Izzaty Azyan banyak menghabiskan cuti semester mencari pengalaman sendiri dengan melawat tempat orang (melancong) malah telah menunaikan umrah pada dua tahun lepas,” katanya.

Tak tahu anak sakit

Dalam pada itu, ibu Allahyarham, Rosmani Hussain, 46, memberitahu, dia dan suami tidak mengetahui anak perempuan mereka menghidap penyakit itu kerana ia dirahsiakan daripada pengetahuan mereka.

“Malah setiap kali berhubung melalui WhatsApp dia nampak happy dan ketika bercakap melalui telefon pula dia riang sahaja, tetapi kali terakhir saya bercakap dengannya, dia memaklumkan dia demam tetapi katanya demam biasa,” katanya.

Pegang amanah arwah

Adik Allahyarham, Nur Syahirah, 17, pula berkata, hanya dia seorang yang mengetahui mengenai penyakit dideritai Allahyarham namun tidak memaklumkan kepada kedua ibu bapa mereka kerana tidak mahu mereka bimbang.

“Saya tahu penyakit itu serius tetapi arwah pesan jangan beritahu ibu dan ayah kerana tidak mahu mereka bimbang. Dia cerita kepada ibu bapa lain, kepada saya lain pula. Saya tak beritahu keluarga kerana pegang amanah arwah,” katanya.

Rahsia penyakit Allahyarham hanya terbongkar apabila JPA memaklumkan Nurul Izzaty Izyan dimasukkan ke hospital dan meninggal. Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, jam 8.40 malam.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tasek, di sini.




0 ulasan:

Catat Ulasan