Filled Under:

Petanda Awal tidak diambil BERAT Di Tasik Kenyir Sebelum Berlaku Gempa Bumi




Perubahan ‘pelik’ yang berlaku sejak enam bulan lalu akhirnya menepati ramalan penduduk setempat bahawa ‘sesuatu’ akan berlaku di Tasik Kenyir susulan gempa bumi lemah 2.7 magnitud dikesan dikawasan tersebut, malam tadi.

Menurut pengusaha perniagaan berbentuk penganjuran aktiviti memancing Ibrahim Anon, atau Ujang, 50-an, perubahan yang berlaku di Tasik Kenyir sejak September 2015 termasuk keadaan permukaan bumi dan fenomena ikan naik ke permukaan air yang tidak berlaku seperti kebiasaan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat.

“Musim tengkujuh tidak berlaku berbanding tahun sebelum ini. Malah, perubahan paling ketara yang dilihat sejak enam bulan lalu adalah apabila keadaan di bahagian hulu sungai mula kering dan dipenuhi dengan timbunan pasir.

“Musim ikan naik ke permukaan juga tidak berlaku. Ikan toman dan ikan sebarau biasanya akan naik ke permukaan air setiap musim pada penghujung tahun. Namun, keadaan itu tidak berlaku,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun menguruskan perniagaan memancing di Tasir Kenyir, ketika dihubungiMalaysian Digest, hari ini.

Ujang yang juga menguruskan perniagaan rumah bot di Tasik Kenyir berkata, berikutan perubahan tersebut, pihaknya dan kumpulan ‘kaki pancing’ sudah menjangkakan gempa bumi akan berlaku memandangkan insiden tersebut bukan pertama kali berlaku di sana.

Bagaimanapun ujarnya, gegaran yang turut dirasai di sekitar Kuala berang itu tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong yang berada di Tasik Kenyir.

“Pengusaha bot sudah biasa dengan keadaan cuaca yang ekstrem dan gegaran semalam tidak dirasai di rumah bot kerana ia berada di permukaan air. Namun, gegaran itu mungkin dirasai oleh penduduk di kawasan darat,” jelasnya.

Ditanya mengenai jangkaan kebarangkalian gempa bumi susulan akan berlaku di Tasik kenyir, Ujang berkata; “Ya, (gempa bumi)akan berlaku lagi dan lebih besar kerana perubahan keadaan bumi di kawasan tersebut ada menunjukkan tanda-tanda. Dan sains sendiri juga mengakui bahawa fenomena alam seperti gempa bumi boleh berlaku dimana-mana.”

Namun, Ujang menasihati penduduk dan pelancong yang berhasrat untuk ke Tasik Kenyir supaya tidak bimbang memandangkan keadaan Empangan Tasir Kenyir adalah selamat.

“Ia (gempa bumi) perkara biasa. Empangan Kenyir juga tidak terjejas susulan gempa bumi malam tadi,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, insiden gempa bumi di tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara yang berlaku malam tadi merupakan insiden kedua, selepas kali pertama berlaku pada 2010 dengan berukuran 2.6 pada skala Richter.

Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan malam tadi, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.




0 ulasan:

Catat Ulasan